Oleh SITI SHAMSIAH MD. SUPI
MEMANG ada ketikanya seseorang mengalami keadaan sangat sukar untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Kebuntuan mencari penyelesaian ada kalanya mendorong seseorang itu melakukan perkara yang buruk dan boleh memudaratkannya atau orang lain.
Kejadian yang dipaparkan kepada kita di media massa mutakhir ini seperti membunuh ahli keluarga disebabkan ancaman ceti haram, membuang anak hasil hubungan luar nikah dan pembunuhan anak-anak kerana pertengkaran dengan pasangan adalah cubaan penyelesaian masalah atau keburukan dengan cara yang buruk dan juga salah.
Sehubungan perkara ini, agama Islam menjelaskan kepada kita tentang perkara-perkara yang perlu dipertahankan sebagai maksud atau tujuan syariah itu sendiri, atau disebut dalam bahasa Arab sebagai maqasid al-syariah. Di dalam maqasid al-syariah, Islam meletakkan agama, nyawa, harta, akal, keturunan dan maruah sebagai perkara-perkara yang perlu dipertahankan sekali gus ia menjadi garisan kepada kehidupan.
Untuk mencapai dan memeliharanya pula ulama-ulama fikah meletakkan satu pendekatan yang diistilahkan sebagai kaedah-kaedah fikah. Melalui pendekatan ini, umat Islam dipandu dan dibimbing dalam menjalani kehidupan seharian tidak kira bagaimana keadaan yang dihadapi, sama ada seseorang itu berada dalam dilema atau terperangkap dalam satu-satu kesusahan.
Antara kaedah-kaedah yang disusun oleh ulama fikah ialah kaedah yang disebut sebagai, ‘tidak boleh membuat kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan dengan kemudaratan’. Contohnya, zina adalah kesalahan dan juga kemudaratan. Ia dianggap sebagai kemudaratan kerana perbuatan ini mencemarkan maruah diri, keluarga dan masyarakat serta ia juga merosakkan nasab keturunan yang sepatutnya dijaga. Di sini ia melibatkan dua perkara maqasid al-syariah. Apabila anak yang dilahirkan daripada hubungan luar nikah itu dibuang, ia bukanlah cara yang boleh diambil sebagai penyelesaian, malah satu perbuatan susulan yang buruk dan sangat zalim. Kesilapan pertama tidak sewajarnya disusuli dengan kesilapan seterusnya. Berdasarkan kepada maqasid al-syariah, Islam menegaskan bahawa haram mendedahkan nyawa supaya ia terbunuh, apatah lagi secara langsung membunuhnya.
Baru-baru ini apabila kita dikejutkan dengan perbuatan membunuh anak-
anak, pihak polis percaya ia disebabkan konflik yang berlaku di antara suami isteri. Sekiranya perbuatan tersebut disahkan benar oleh keputusan berdasarkan undang-undang, sesungguhnya ia adalah tindakan yang amat tidak wajar. Ibarat kata pepatah, marahkan nyamuk kelambu dibakar. Perbuatan ini mempertemukan kita dengan kaedah fikah, ‘kemudaratan tida’. Sekalipun mungkin si suami telah melakukan perbuatan yang memudaratkan dirinya, tetapi Islam tetap melarang perbuatan tersebut dibalas dengan keburukan atau kemudaratan juga. Membunuh anak-anak yang lahir daripada perkahwinan tersebut bukanlah cara untuk menzahirkan kemarahan yang meluap-luap di dalam dada, sekali gus ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang berlaku dan ditengkarkan. Masih banyak lagi jalan penyelesaian yang boleh diambil dan tidak menyalahi hukum syarak. Di sini Islam mengajar kita bahawa kemudaratan yang dikenakan kepada diri seseorang tidak boleh dibalas secara sesuka hati. Seterusnya Islam mengajar supaya kezaliman tersebut dirujuk kepada peraturan yang telah ditentukan, sama ada secara adat masyarakat ataupun undang-undang negara yang ia selaras dengan hukum syarak.
Demikian juga halnya apabila seseorang tergamak membunuh ahli keluarga disebabkan ancaman ceti haram. Ia satu sifat mempertahankan diri dengan cara yang sangat melampau. Apa yang nyata, ahli keluarga itu tidak dibunuh oleh si ceti haram, tetapi oleh ahli keluarga itu sendiri yang sepatutnya mempertahankan nyawa semua ahli keluarga.
Melihat kepada senario di luar batas perikemanusiaan yang berlaku di hadapan kita ini, menjadikan kita kehabisan ayat untuk kita menyatakan bahawa setiap nyawa itu tidak ada harga yang sesuai untuk ditaksirkan mahalnya. Bahawa setiap kehidupan itu punya hak untuk berlangsung sehinggalah sampai seruan untuk menghadap yang Menciptanya. Setiap kelahiran mempunyai kehidupan yang tersendiri hatta ibu yang melahirkan juga perlu memahami batasnya dalam mempengaruhi kehidupan seorang anak.
Apabila berlaku satu-satu kemudaratan atau keburukan, sebenarnya banyak pihak yang perlu memainkan peranan. Maqasid al-syariah perlu ditegakkan daripada pelbagai peringkat; individu, institusi keluarga, masyarakat dan pemerintah. Contohnya apabila seseorang kesempitan wang dan berhasrat untuk meminjam wang daripada ceti haram, ia bakal mengundang kemudaratan dan hasrat itu tidak seharusnya diteruskan. Apabila hasrat itu diteruskan juga dan ternyata ia mengundang bahaya, maka kemudaratan yang berlaku perlu dibendung supaya ia tidak menjadi lebih buruk dan parah. Di peringkat ini semua lapisan masyarakat dan pihak pemerintah perlu mengambil peranan; bagaimana kesempitan hidup harus diatasi sehingga tidak melibatkan ceti haram dalam urusan kehidupan.
Pencegahan perlu dibuat supaya di peringkat orang perseorangan tidak melakukan keburukan dan kezaliman. Apabila ia tetap berlaku, maka penyelesaian bagi perkara tersebut perlu dibuat secara bijaksana sebagai pemulihan dan pengajaran kepada ahli masyarakat yang lain. Menghukum dengan cara yang zalim juga tidak akan memberi faedah yang sepatutnya sampai kepada rakyat. Contohnya, ibu bapa yang membunuh anak-anak mereka sendiri walaupun ia satu perkara yang sangat zalim, tetapi hukum syarak tidak membenarkan qisas dilaksanakan kerana anak-anak adalah sebahagian daripada mereka. Hikmahnya adalah rahsia di sisi Allah s.w.t.
- PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik IKIM.
No comments:
Post a Comment