Oleh Safuri Kamarudin
rencana@hmetro.com.my
Guru disiplin bukan ambil kesempatan tapi pikul tanggungjawab bentuk generasi berdaya saing, berupaya hadapi cabaran
SAYA tahu ramai pelajar tidak suka dengan guru disiplin. Pelbagai tanggapan dilemparkan tapi yang sentiasa didengar, ‘Cikgu disiplin tidak sporting, garang tidak bertempat dan sentiasa mencari kesalahan pelajar’.
Sudah lama berkecimpung dalam arena perguruan dan pelbagai masalah disiplin dihadapi. Sebenarnya, suka diperbetulkan guru disiplin tidaklah garang tapi mereka hanya menjalankan tugas sepertimana diamanahkan.
Pelajar zaman sekarang bakal berdepan fenomena hidup serba mencabar pada masa depan. Jika tidak dibekalkan dengan nilai disiplin kuat, nescaya mereka bakal kecundang.
Di sinilah letaknya fungsi guru disiplin. Kami memikul tanggungjawab membentuk generasi yang mampu berdaya saing, mempunyai jati diri tinggi serta berkeupayaan menghadapi cabaran.
Malangnya, ada segelintir pelajar tidak nampak peranan dan mesej yang ingin disampaikan. Mereka beranggapan, guru disiplin sengaja mencari kesalahan.
Untuk pengetahuan, mengapa perlu memberi hukuman sekiranya tidak bersalah? Guru disiplin tidak pernah mengambil kesempatan terhadap pelajarnya malah apa yang dilakukan bertujuan mendidik.
Namun tidak ramai yang mengetahui hasrat hati kami malah sentiasa melemparkan tanggapan negatif.
Kalaulah mereka tahu apa yang dilakukan itu semata-mata demi kebaikan pada masa depan, sudah tentu tidak wujud perasaan begitu.
Berdasarkan pengalaman, cuma pelajar bermasalah saja yang tidak suka dengan kami tapi bukan semua malah ramai lagi yang tahu menghargai jasa.
Sebagai guru, memanglah kena tegas, apatah lagi senario pendidikan negara hari ini bukanlah seperti enam dekad dulu. Sekarang pelajar lebih pandai, berani malah mungkin perasaan menghormati guru pun semakin kurang.
Penerapan disiplin itu kami sediakan sebagai platform supaya mereka bersedia berdepan pelbagai cabaran. Jika sudah kukuh penerapan disiplinnya, bererti tiada masalah berdepan cabaran itu.
Pernahkah pelajar tanya, untuk apakah disiplin? Saya yakin ramai kurang arif mengenainya. Tahukah mereka, sebenarnya disiplin berupaya menjadi benteng diri daripada terbabit dengan pelbagai gejala sosial.
Disiplin juga bakal melahirkan individu kreatif serta mempunyai kesedaran harga diri dalam masyarakat untuk bergerak ke arah kemajuan.
Generasi muda perlu tahu inilah prinsip hendak ditekankan bagi memperkasakan mereka supaya mempunyai wawasan seterusnya berjaya sebagai pemimpin pada masa depan.
Jika dalam usia muda mereka sudah hilang pedoman dan tidak boleh menerima teguran, bayangkan apa yang bakal berlaku?
Mereka akan menjadi kelompok lemah, tiada langsung semangat jati diri malah boleh ‘tumbang’ pada bila-bila masa.
Kami tidak mahu senario itu membelenggu kehidupan generasi muda, biarpun ada kalanya sedih dengan tindakan segelintir pelajar mengingkari nasihat, guru disiplin tidak jemu memberikan nasihat.
Semuanya kami lakukan kerana sayangkan pelajar dan mahu mereka menjadi insan berguna.
Ingatlah, biar apapun jawatan guru itu, mereka ikhlas untuk membantu. Jika kami marah itu hanyalah demi kebaikan kerana mahu melihat generasi hari ini berjaya pada masa depan.
Profil
Nama: Mohamad Fauzi Md Nor
Asal: Baling, Kedah
Umur: 41 tahun
Pendidikan: Diploma Perguruan, Maktab Perguruan Teruntum, Kuantan Pahang
Jawatan: Guru Disiplin dan Penyelaras Pengawas di SK Titi Gantong, Baling, Kedah
No comments:
Post a Comment