16-01-2007 02:22:04 PM
Oleh SA'ODAH ELIAS ,Mstar
PEMANASAN global -- adakah ia satu andaian, satu teori saintifik, atau adakah ia satu fakta yang sahih, dan kesannya kini sedang kita alami?
Golongan yang berpegang pada sains sudah pasti percaya bahawa fenomena ini memang wujud dan semakin meruncing sehingga merobah corak cuaca dan suhu dunia menjadi tidak menentu.
Mereka yang lebih cenderung menafsir setiap perubahan dunia mengikut kepercayaan agama akan berkata, segala yang dialami manusia sekarang semata-mata atas kehendak-Nya dan bukan kerana pemanasan dunia.
Mungkin juga ada segelintir yang berpendapat cuaca ekstrem yang dialami dunia sekarang adalah sesuatu yang tidak boleh disekat kerana ia menepati peredaran semula jadi dunia yang semakin tua.
Apapun pendirian kita, yang pasti perubahan ketara cuaca dan suhu kini dirasai di seluruh dunia dan jutaan manusia menderita akibatnya, termasuklah lebih 100 ribu mangsa bah besar di selatan tanah air.
Menurut laporan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) perubahan cuaca dan suhu dunia mula ketara pertengahan tahun lalu.
Kawasan yang sepatutnya kering, disimbahi hujan, kawasan yang sepatutnya sejuk, semakin panas dan begitu juga sebaliknya.
Laut beku dan glasier di kutub mencair pada kadar yang membimbangkan, mengakibatkan paras laut semakin tinggi, sementara lubang ozon di Antartika pada akhir tahun lalu sebagai paling luas pernah direkodkan.
Sama ada kita berpegang pada sains, fahaman agama atau peredaran semula jadi, punca kepada fenomena yang kita alami kini adalah sama, iaitu keangkuhan manusia yang tidak tahu menghargai dan menghormati alam sekitar.
Mengikut teori sains, kegiatan manusia mengakibatkan pelepasan gas-gas rumah hijau -- karbon dioksida (CO2), metana (CH4) dan nitrus oksida (N2O) -- penyumbang besar kepada proses pemanasan dunia.
Kepercayaan agama pula, secara umumnya, menuntut manusia agar sentiasa bersyukur dengan kurniaan-Nya, supaya tidak tamak haloba, supaya menghormati dan menghargai segala kejadian-Nya. Juga, setiap perbuatan itu ada balasannya.
Dan inilah balasan yang kita terima daripada Yang Maha Esa kerana keangkuhan kita tidak menghargai alam sekitar yang diwujudkan-Nya untuk kita nikmati bersama.
Tidak cukup itu, udara nyaman kita kotori dengan asap dari jutaan kenderaan yang menggunakan bahan api fosil yang mencemarkan serta pelbagai pelepasan asap industri. Sungai yang bersih kita jadikan tong sampah.
Untuk kemudahan manusia, baja bukan organik digunakan secara meluas, mencemar tali air, sungai dan laut dan ini semua menyumbang kepada meningkatnya emisi gas rumah hijau yang memerangkap haba di atmosfera, menjadikan permukaan bumi semakin meluap.
Hutan hijau yang membantu menapis gas-gas rumah hijau ini pula kita gondolkan tanpa mengira hari esok dan bukit kita tarah. Pendek kata, tidak ada kejadian Tuhan yang tidak dimusnahkah manusia untuk memuaskan nafsu.
Kesan daripada sifat tamak manusia itu dunia kini berhadapan masalah besar.
Sebagai contoh, suhu pada musim sejuk di Eropah bagi 2006 adalah yang tertinggi pernah dicatatkan sehingga banyak pusat peranginan sukan ski tidak dapat dibuka kerana cenuram tidak bersalji.
Di beberapa bahagian benua itu, pohon buah-buahan sudah mula berbunga dan berputik walaupun musim sejuk belum berakhir, dan ini membingungkan peladang.
Beruang kutub pula dilaporkan mula memasuki kawasan penempatan manusia untuk mencari makan kerana pencairan laut beku memusnahkan habitatnya dan menyebabkan haiwan itu sukar memburu untuk mencari makanan.
Contoh lebih dekat ialah kejadian ribut tropika dan taufan yang lebih kerap daripada biasa yang melanda beberapa negara jiran.
Dan terakhir, curahan hujan di beberapa kawasan di negara ini pada kadar ekstrem yang belum pernah dialami sebelum ini, sementara benua terkecil dunia, Australia kini berhadapan masalah kemarau terburuk dalam sejarah modennya.
Semoga pembalasan balik dari alam semula jadi yang kita rasai dengan amat ketara sejak dua tahun kebelakangan ini akan memberikan kesedaran dan kekuatan politik kepada kerajaan-kerajaan di dunia untuk mengetatkan undang-undang menyekat semua bentuk pencemaran.
Setiap individu juga patut belajar peka terhadap masalah ini dan buatlah apa yang termampu untuk memelihara kesihatan dunia kita.
Kita perlu ambil maklum bahawa dunia kita telah terlalu tua, dan kerana itu juga mungkin telah menjadi lebih sensitif pada penderaan yang dilakukan manusia ke atasnya.
Jagalah ia agar tidak merajuk atau lebih buruk lagi bertindak balas di luar dugaan. Dunia adalah satu-satunya "rumah kita" di alam semesta ini.
No comments:
Post a Comment