Oleh: ROZAMAN ISMAIL
PUTRAJAYA 16 Jan. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 bertujuan melonjakkan tahap kecemerlangan sekolah dan mengangkat imej sistem pendidikan negara di mata dunia.
Pelan induk itu menggariskan enam teras strategik bagi melahirkan modal insan yang cemerlang, produktif dan kreatif ke arah membantu Misi Nasional menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
Enam teras itu ialah Membina Negara Bangsa; Membangunkan Modal Insan; Memperkasakan Sekolah Kebangsaan; Merapatkan Jurang Pendidikan; Memartabatkan Profesion Keguruan dan Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus meningkatkan penyediaan prasarana pendidikan terutama sekolah untuk rakyat khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, terutama di Sabah dan Sarawak.
“Jika ia (prasarana pendidikan) tidak disediakan, ia seumpama tanggungjawab yang diabaikan oleh kerajaan dan ia tidak adil terhadap rakyat.
“Kita harap, peruntukan besar yang disediakan kepada Kementerian Pelajaran dapat digunakan untuk menyediakan prasarana pendidikan kerana sekolahlah tempat melahirkan modal insan,” katanya.
Pelancaran itu yang dilakukan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini turut dihadiri oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed.
Warga pendidik termasuk bekas-bekas Ketua Pengarah Pendidikan dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan serta murid dan pelajar sekolah, turut sama.
Menurut Perdana Menteri, selain meningkatkan penyediaan prasarana pendidikan kerajaan juga perlu membina sekolah berkualiti di luar bandar terutama sekolah yang kedudukannya jauh di pedalaman.
“Dengan meningkatkan kualiti sekolah, sekali gus akan membantu memperkasakan sekolah aliran kebangsaan,” katanya.
Abdullah berkata, kandungan sekolah juga perlu ditingkatkan termasuk menyediakan guru-guru mencukupi dan terlatih serta memperkasakan kurikulum sekolah.
“Kurikulum harus berupaya memberi pendidikan yang tinggi mutunya dengan kaedah pengajaran yang baik dan disampaikan oleh guru-guru yang berkelayakan,” katanya.
Beliau berkata, usaha juga perlu dilaksanakan untuk memperkasakan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) supaya ia dapat berfungsi sebagai badan yang sentiasa prihatin kepada kemajuan sekolah dan pelajar.
Menurutnya, semua pendekatan yang digariskan di bawah PIPP akan membawa anjakan besar dalam pembangunan pendidikan untuk memberi pendidikan kepada anak-anak bangsa.
Dalam ucapannya itu, Perdana Menteri turut menekankan bahawa usaha meningkatkan kecekapan dan profesionalisme guru perlu dilaksanakan secara berterusan.
“Satu penanda aras baru perlu dicapai oleh guru supaya mencapai tahap kecekapan dan profesionalisme yang dikehendaki bagi melahirkan pelajar yang cemerlang, bukan sahaja celik huruf tetapi juga celik minda,” katanya.
Katanya, kerajaan berharap melalui pendidikan bukan sahaja dapat melahirkan modal insan yang berpengetahuan, kuat fizikal dan cerdik minda tetapi juga mempunyai nilai-nilai yang sempurna dan murni untuk memikul amanah bagi membantu memajukan negara.
Sehubungan itu, katanya, modal insan yang mempunyai celik minda dan nilai-nilai ditambah sangat penting untuk melakukan anjakan besar selain mampu bersaing untuk berjaya.
“Apa gunanya kita mempunyai kemudahan yang canggih tetapi rakyat kita tidak mampu menggunakannya kerana mereka tidak celik minda dan tidak mempunyai pengetahuan.
“Ia seumpama sebuah negara yang subur dan mempunyai banyak hasil bumi seperti emas, perak dan batu permata, tetapi semua itu akan menjadi sia-sia, sekiranya tenaga manusianya tidak berkualiti, tidak berpengetahuan dan tidak mampu menguasai teknologi.
“Akhirnya ia akan menyebabkan negara rugi dan membazirkan masa dan tenaga, kerana mereka tidak dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja,” tambah beliau.
Sehubungan itu, katanya, negara perlu melahirkan lebih ramai Ulul-Albab (pemikir) yang bersyukur kerana merekalah golongan yang mampu melaksanakan amanah bagi membawa kebaikan kepada negara juga kebaikan di akhirat.
No comments:
Post a Comment