Tuesday, January 23, 2007

Tingkatkan minat pelajar ke sekolah

Tingkatkan minat pelajar ke sekolah
28-12-2006 02:06:23 PM
oleh Au Yeong How, Mstar

Sesi persekolahan baru akan bermula pada 3 Januari 2007. Ini bermakna musim cuti sekolah bakal melabuhkan tirai dalam masa seminggu lagi. Selepas puas beristirehat, kita berharap semangat para pelajar kembali ke sekolah adalah berkobar-kobar.

Sudah pastinya para pelajar ingin berkongsi pelbagai pengalaman bercuti sesama sendiri, menghilangkan kerinduan apabila mata bertentang, di samping menjalin hubungan silaturahim dengan guru-guru tersayang.

Momentum murid-murid sekolah ingin menganjakkan kaki ke sekolah perlu bersinambungan. Jika boleh, dari awal tahun sampai akhir tahun, mereka lebih rela pergi ke sekolah daripada melepak di jalanan, dan bukannya seperti pahat dengan penukul - hanya bersekolah apabila disuruh.

Bertitik-tolak daripada ura-ura polis menahan pelajar-pelajar yang ponteng sekolah, kenapa terdapat segelintir pelajar yang mogok belajar?
Bukankah para pelajar menghabiskan sebahagian masa mereka di sekolah? Malah, sekolah sepatutnya berperanan sebagai rumah ataupun ‘syurga’ kedua, selepas rumah asal, mereka.

Persoalan ini terjawab sekiranya kita menyelami naluri pelajar, peranan sekolah, dan pengaruh persekitarannya.

Ingatlah, para pelajar gemar ke sekolah jika berupaya mempamerkan keupayaan mereka. Pendek kata, mereka berasa syok dan tidak merasakan diri mereka suatu bebanan kepada guru, dan rakan.

Ada para pelajar yang otak cair, dan ada pula yang sederhana daya pemikirannya tapi berkemahiran tinggi dalam seni pertukangan ataupun teknikal. Saya kata tidak ada yang bodoh alang. Sebabnya mudah. Setiap orang insan (pelajar) mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri. Kesemua ini bergantung kepada bakat, dan orientasi intelektual seseorang pelajar.

Lantaran itu, guru-guru perlu pandai menghidu kekuatan para pelajar. Kaunselor boleh memberikan panduan dan khidmat nasihat kepada mereka. Pelajar yang lebih condong kepada kemahiran boleh dirujuk kepada sekolah vokasional dan teknikal.

Antaranya termasuklah Institut Kemahiran Belia Negara (Kementerian Belia dan Sukan Malaysia) yang menawarkan kursus-kursus latihan kemahiran seperti dalam bidang khidmat pelanggan, tekstil, serta sajian makanan; dan Institut KOJADI (MCA).

Adakalanya kita teragak pelajar ponteng kerana tiada aktiviti-aktiviti menarik yang dikendalikan di sekolah. Ataupun, pihak sekolah tidak memberikan pengiktirafan yang sewajarnya kepada rekod kehadiran 100% pelajar ke sekolah.

Sewaktu bersekolah, penulis ini tidak pernah berasa bosan kerana aktiviti-aktiviti berpersatuan, bersukan, dan rancangan membaca silih berganti. Sampai kadang-kala saya kempunan hendak melibatkan diri dalam semua aktiviti yang dianjurkan.

Sekolah saya turut menawarkan pingat “kehadiran 100% ke sekolah” kepada mereka yang tidak pernah ponteng ataupun bercuti sakit. Bersebabkan itulah, saya masih ghairah untuk bersekolah walaupun demam! Soal ponteng sekolah tidak pernah terlintas di benak saya.

Walau bagaimanapun, saya tidak menyanggah ada para pelajar ponteng sekolah kerana pengaruh luar sekolah yang lebih kuat, terutamanya daripada rakan-rakan sebaya mereka.

Suka saya berkongsi dengan para pembaca budiman satu rencana utama bertajuk “Saya sertai Gothik kerana seks!” yang cukup menarik oleh Syahiran (Dewan Masyarakat Edisi Oktober 2006).

Menurut Syahiran, para pengikut gaya hidup Gothik rata-ratanya remaja belasan tahun yang masih bersekolah melakukan seks bebas sesama mereka tanpa mengambil kira di mana dan bila masanya, asalkan suka sama suka.

Nampaknya, pantauan ibu bapa ataupun pengasuh mereka ternyata longgar. Mereka sepatutnya menimba ilmu di sekolah dan bukannya melakukan seks rambang yang laknat.

Ibu bapa tidak boleh berpura-pura berselingah, dan melepaskan tanggungjawab keibubapaan mereka kepada pihak polis. Mereka perlu mengambil berat terhadap pergerakan dan tindak-tanduk anak-anak mereka.

Semoga para pelajar teruja untuk kembali bersekolah.

No comments: